Panjangkan cuti Deepavali sama seperti perayaan lain
SUDAH tiba masanya kerajaan memanjangkan cuti umum bagi sambutan perayaan Deepavali, kata Syed Saddiq Abdul Rahman.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, beliau menerima banyak aduan terutama daripada pelajar universiti yang mahu cuti perayaan itu diberikan sama seperti sambutan hari raya lain.
“Ramai yang bertanya saya, kenapa cuti Deepavali satu hari sahaja? Kalau Hari Raya (Aidilfitri) dan Tahun Baru Cina dua hari.
“Kebanyakannya pelajar universiti yang adukan. Isnin cuti, esoknya dah kena masuk kelas. Satu hari memang tak cukup,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau turut memuat naik luahan seorang pelajar universiti yang melahirkan rasa kecewa kerana hanya diberikan cuti umum hanya sehari bagi perayaan Deepavali.
Pada masa kini, Malaysia memberikan cuti umum satu hari untuk perayaan Deepavali yang disambut oleh masyarakat India, berbanding dua hari bagi Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.
Tahun ini Deepavali disambut pada 24 Oktober iaitu hari Isnin.
Sehubungan itu, Syed Saddiq berharap kerajaan Keluarga Malaysia mempertimbangkan memanjangkan cuti Deepavali.
“Kesian mereka. Nak sambut pun Deepavali pun terkejar-kejar nak balik universiti,” katanya. – Malaysiapost