Pas nafi ditawarkan 47 kerusi daripada Bersatu
PAS menafikan wujudnya tawaran 47 kerusi boleh menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) daripada Bersatu yang dikatakan sebab parti itu memilih untuk terus bersama Perikatan Nasional (PN).
Sinar Harian melaporkan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu 47 kerusi itu tidak disebut dalam perbincangan antara pemimpin Umno dan Pas seperti didedahkan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Tak betul, dia merapu. Dia (Asyraf) tak terlibat pun dalam mesyuarat tu
“Hanya empat orang yang tahu apa perincian perbincangan. 47 kerusi tidak pernah disebut dalam perbincangan.
“Masalah utama bukan jumlah kerusi, kerana ia tiada perincian dalam perbincangan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Asyraf menerusi hantaran di Facebooknya berkongsi satu gambar pertemuan di antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti, Umno dan Pas pada Rabu iaitu sehari sebelum Pas membuat keputusan kekal bersama PN.
Gambar itu memaparkan pertemuan lapan mata antara Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim.
Asyraf mendakwa Pas dijanjikan 47 kerusi boleh menang kepada parti itu jika bersama PN. – Malaysiapost