PH tak nak PRU-15 tapi sibuk berkempen
TINDAKAN pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tiga negeri, dipercayai mahu kekal menjadi kerajaan sebelum terbubar secara automatik apabila tamat tempoh.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kepimpinan PH memberikan pelbagai alasan untuk tidak mengadakan pilihan raya tahun ini terutama isu musim tengkujuh.
Menurutnya, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan keputusan tidak membubarkan DUN berkenaan diambil bagi memastikan persiapan dibuat bagi menangani banjir di ketiga-tiga negeri terbabit.
“Adakah ini juga bermaksud bahawa semua pemimpin PH yang berasal dari tiga negeri terbabit tidak akan keluar berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebab mereka akan sibuk memastikan persiapan dibuat bagi menangani banjir?,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, sekiranya PH turut sibuk berkempen dalam tempoh PRU-15 dan bukan memastikan persiapan banjir, maka ini bermakna mereka berbohong kepada rakyat lagi.
“Ini agar mereka boleh merasa menjadi kerajaan bagi beberapa bulan lagi sebelum DUN negeri terbubar secara automatik apabila tempohnya tamat,” katanya.
Sebelum ini, Majlis Presiden PH mengambil keputusan untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. – Malaysiapost