PRU15: Umno akan cari tempat sesuai untuk KJ
UMNO akan mencari tempat sesuai untuk penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bagi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Menteri Kesihatan itu adalah seorang pemimpin muda yang berkaliber dan baik untuk negara.
“Kita tak mahu bakat beliau itu hilang begitu sahaja.
“Kita cuba cari tempat yang sesuai untuk beliau bertanding pada PRU-15,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rembau, hari ini.
Sebelum ini, isu itu hangat diperkatakan selepas Mohamad mengumumkan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau yang disandang Khairy selama tiga penggal.
Timbul spekulasi tentang kerusi Parlimen yang mungkin ditandingi Khairy termasuk Port Dickson, Tampin dan Putrajaya.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Rembau bersyukur kerana soal calon kerusi Parlimen Rembau dapat dibincangkan dalam semangat kekeluargaan.
“Itu semangat kekeluargaan di Rembau, kami beradat. Alhamdulillah kita akan pastikan jentera di Rembau dipertingkatkan lagi, tiada isu kerusi Rembau lagi,” katanya.
Terdahulu, pada mesyuarat sama, Khairy yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau dalam ucapan penggulungannya berkata, beliau memberi laluan kerusi Parlimen Rembau kepada Mohamad pada PRU-15. – Malaysiapost