Radzi: Maaf ‘pak cik’ muncul tiba-tiba
SINGGAH ke sekolah atau program sekolah tanpa protokol merupakan amalan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sejak menerajui kementerian itu.
Berkongsi di Facebooknya, Radzi sempat singgah di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) untuk sama-sama dengan anak-anak Genius Negara dan Genius Kurnia dalam program Hari Sukan Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak Genius sempena Hari Sukan Negara.

“Singgah ke sekolah atau program sekolah tanpa protokol atau sambutan rasmi memang menjadi amalan saya sejak berada di KPM.
“Melalui pendekatan ini saya dapat meluangkan lebih masa untuk berjumpa dengan anak-anak murid, cikgu dan ibu bapa.
“Pentadbir sekolah dan guru juga tak perlu buat persiapan berhari-hari dengan bermacam-macam jawatankuasa,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Radzi memuji kemeriahan program berkenaan dengan kehadiran murid dan ibu bapa dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.

Dalam pada itu, Radzi berkata apa yang penting melalui pendekatan sebegitu beliau dapat mengetahui situasi sekolah berkenaan.
“Apa yang penting saya dapat mengetahui kepayahan dan situasi sebenar yang berlaku di sekolah. Kemudian langkah penyelesaian akan diambil.
“Terima kasih semua, maaf pak cik muncul secara tiba-tiba tadi,” katanya.- Malaysiapost