Semangat kesepaduan kunci kemenangan besar Umno, BN – Ismail Sabri
Ben Ibrahim
HANYA melalui semangat kesepaduan dan kesepakatan dalam kalangan ahli Umno dapat memastikan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sikap mementingkan diri sendiri dengan melakukan sabotaj hanya menguntungkan pembangkang.
“Kita mesti ada semangat untuk bekerja bagi memastikan kemenangan parti, kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15.
“Kalau semangat (kesepaduan) ini ada, semangat untuk (kemenangan) parti, bukannya kepentingan sendiri, sudah pasti kita tidak ada masalah untuk menang besar.
“Sebab itulah saya ingatkan, jangan ada sabotaj atau ‘cah keting’ kerana jika ini berlaku, kita mungkin bersorak sebab kawan kita kalah, gembira untuk sehari dua… seminggu dua, tapi akhirnya kita akan menanggung akibatnya untuk jangka panjang,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Bera, di Bera, hari ini.
Ismail Sabri turut memberi bayangan tarikh PRU-15 akan diadakan dalam masa kurang 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.
Ini selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.
“Hari ni dah 16 haribulan, enam hari dah berlalu, maknanya dah tak sampai 60 hari lagi… lagi 54 hari dan biasanya pilihan raya tak sampai (60 hari), biasanya lebih awal dan paling cepat empat minggu pun ada (selepas Parlimen bubar).
“Selepas pembubaran, bermakna kita ada sebulan lagi untuk sampai tempoh mengundi, penamaan calon biasanya dua minggu sebelum hari mengundi sebab biasanya kempen selama 14 hari, jadi congak-congak lah sendiri,” katanya. – Malaysiapost