Senarai calon BN Kelantan dijangka diketahui minggu depan

Senarai calon BN Kelantan dijangka diketahui minggu depan

SENARAI calon Barisan Nasional (BN) Kelantan yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi untuk mendapatkan senarai calon lebih awal.

“Apabila senarai calon keluar nanti, sudah tentu akan ada sedikit sebanyak masalah dalaman yang perlu diatasi.

“Namun, saya berharap semua pihak pimpinan di setiap peringkat dapat menerima dengan hati terbuka apabila senarai calon dimuktamadkan Presiden parti.

“Apa yang penting adalah kemenangan untuk merebut Kelantan, bukannya isu untuk bertanding semata-mata,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan, malam tadi.

Ahmad Jazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Machang berkata, apa yang pasti kepelbagaian calon akan dipamerkan pada PRU-15 nanti dalam usaha menarik keyakinan rakyat.

“Insya-Allah kita mengharapkan sokongan rakyat Kelantan untuk menyokong calon BN nanti,” katanya. – Malaysiapost

Komen