Solusi tangani isu pendidikan akan dimasukkan dalam manifesto BN – Asyraf Wajdi

Solusi tangani isu pendidikan akan dimasukkan dalam manifesto BN – Asyraf Wajdi

ISU pendidikan antara yang akan diberikan tumpuan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) yang bertemakan “Kestabilan dan Kemakmuran”.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata antara isu utama yang diterima dan dibincangkan pihaknya adalah mengenai beg sekolah yang berat dan membebankan lebih 5 juta pelajar sekolah menengah dan rendah.

Beliau yang juga Pengerusi Pemuda BN, berkata ketika pertemuan dengan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad, di Kota Bharu, Kelantan pagi tadi, beberapa solusi mengenai isu itu dibincangkan bersama.

“Antara solusi yang dibincangkan ialah agar penggunaan buku teks ditukar kepada penggunaan tablet yang lebih efektif dan selaras dengan kemajuan teknologi kini.

“Sekiranya kita mengambil kira perbandingan harga Peranti Siswa dengan anggaran RM800 bagi sebuah tablet, dianggarkan sebanyak RM4 billion diperlukan untuk memastikan semua pelajar dapat menggunakan tablet bagi proses pembelajaran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, solusi itu sering dibincangkan di dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun kekangan utama lazimnya adalah berkisar tentang capaian internet khususnya di kawasan luar bandar.

“Namun, seperti yang kami bincangkan, fasa awal masih boleh dilakukan dengan menggunakan tablet ini sebagai pengganti buku teks sepenuhnya secara ‘offline’ terlebih dahulu.

“Tablet akan memuat-naik semua subjek dan mata pelajaran dalam bentuk e-book,” katanya.

Beliau berkata, tablet akan bertahan lebih lama berbanding buku teks dan sekiranya ada perubahan terhadap silibus atau subjek pembelajaran ia boleh ditukar dalam bentuk aplikasi atau e-book yang telah tersedia di dalam tablet berkenaan.

“Jumlah RM4 billion memang nampak besar namun jika dibahagikan kepada satu tempoh RMK (5 tahun), yakni RM800 juta setiap tahun boleh dijadikan sebahagian peruntukan bajet tahunan KPM yang bernilai sekitar RM55 bilion setahun.

“Ini pandangan kami sewaktu bersarapan bersama tadi, apa pula pandangan anda terhadap cadangan penggunaan tablet ini?

“Kalau bagus saya nak cadangkan kepada kepimpinan tertinggi bagi memasukkan dalam Manifesto BN bertemakan ‘Kestabilan dan Kemakmuran,” katanya. – Malaysiapost

Komen