Tidak boleh bermusuh, walaupun tidak berkawan – Takiyuddin

Tidak boleh bermusuh, walaupun tidak berkawan – Takiyuddin

PAS tidak bermusuh dengan Umno meskipun parti itu memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, atas prinsip penyatuan ummah, PAS tidak sesekali mengisytiharkan Umno sebagai musuh.

“Saya tidak anggap begitu, kalau perhatikan betul-betul kenyataan daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (pun) tidak ada (kata bermusuh). Sebab apabila kita menyatakan penyatuan ummah, kita tidak boleh bermusuh (dengan Umno) walaupun tidak berkawan.

“Maksudnya, kalau tidak boleh berkawan jangan isytiharkan sebagai musuh. Itu tidak boleh,” katanya. 

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan program Pendakian 121 Puncak sempena sambutan ulang tahun Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Kuala Lumpur, hari ini. 

Menjelaskan mengenainya, Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, sehingga kini PAS sedia bekerjasama dan sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Umno.

“Ya kami (PAS) sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan bila-bila masa,” katanya. 

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Kota Bahru, Kelantan itu mengakui sedia mempertahankan kerusinya sekiranya dicalonkan lagi.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, PAS belum memuktamadkan lagi senarai calon untuk PRU15. -Malaysiapost

Komen