Tindakan tidak bubar DUN mudahkan BN menang
TINDAKAN tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dilihat memudahkan Barisan Nasional (BN) menawan negeri tersebut selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata tindakan (tidak bubar DUN) itu juga jelas menunjukkan mereka takut akan kehilangan negeri masing-masing.
“Ini satu petanda baik bahawa mereka tahu kalau DUN bubar semestinya ia akan dianggap sebagai malapetaka kepada enam kerajaan negeri itu.
“BN berpotensi besar menang keenam-enam negeri itu. Bagi saya, kita tidak perlu bimbang malah ucap terima kasih kepada mereka kerana telah memberikan masa yang cukup kepada kita untuk menang.
“Apabila BN menang PRU15, sudah pastilah rakyat di enam negeri ini akan pilih kita kerana mahukan pembangunan disalurkan oleh kerajaan pusat,” katanya dalam hantaran Facebooknya .
Lokman berkata, BN boleh menggunakan kelebihan jenteranya yang ramai untuk dikerahkan ke semua negeri yang menjalankan pilihan raya berasingan daripada PRU-15 supaya kemenangan menjadi milik BN.
Dalam pada itu, beliau berkata tindakan pemimpin PN dan PH berbuat demikian adalah untuk memastikan mereka mempunyai sumber pendapatan untuk kelangsungan parti.
Sebelum ini, PN dan PH membuat keputusan untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk memberi tumpuan persiapan musim tengkujuh. – Malaysiapost