Tun M persoal kemampuan BN laksana Bajet 2023

Tun M persoal kemampuan BN laksana Bajet 2023

GERAKAN Tanah Air (GTA) mempersoalkan kemampuan Barisan Nasional (BN) melaksanakan Bajet 2023 yang telah dibentangkan pada Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Pengerusi Penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyifatkan Bajet 2023 adalah bajet untuk pilihan raya apabila parti lawan tidak diberi hak untuk membahas.

Beliau berkata, GTA yang belum didaftar tidak ada pilihan selain dari menyokong kerana jika tidak menyokong, tentulah rakyat akan kecewa dan tolak gabungan itu.

“Namun, GTA menyoal kemampuan Umno melaksana segala janji yang dibuat. Ini adalah kerana kerajaan ini kekurangan dana, korup dan kurang kecekapan untuk melaksana projek-projek.

“Pada masa Najib (Datuk Seri Najib Razak), kerajaan Umno gagal dalam pengurusan kewangan. Umnolah yang meminjam RM42 billion dengan mengguna 1MDB. Sebenarnya hutang kerajaan dahulu tidak pernah lebih dari RM1 trillion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, segala inisiatif dan bantuan kepada rakyat seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2023 hanya boleh dilaksanakan sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut bekas Perdana Menteri itu, membayar faedah sekarang sahaja pun memerlukan berbilion ringgit setiap tahun dengan hutang pokok tidak dibayar.

“Kerap kali peruntukan untuk pembangunan diguna untuk bayar faedah pinjaman. Dengan ini, pembangunan kekurangan dana dan tidak dapat dilaksana. Lebih-lebih lagi kos meningkat kerana rasuah.

“Banyak cara untuk mengurangkan kos tidak diamal. Di masa yang sama nilai ringgit jatuh. Ini bermakna bayaran hutang dalam ringgit meningkat dan juga kos import,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak menolak belanjawan berkenaan dilihat baik, tetapi jika tidak pelaksanaannya tidak cekap ia tidak membawa hasil yang dijanjikan.

Katanya, walaupun GTA menerima belanjawan ini, tetapi banyak perubahan dan tambahan perlu dilakukan.

“Insya-Allah, GTA dapat melaksana bajet terutama bantuan-bantuan untuk rakyat jika Umno tidak jadi kerajaan dan diganti oleh kerajaan GTA, jika GTA diberi kemenangan dan mendiri kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen