Umno Beruas lulus usul Ismail Sabri ‘poster boy’, PM – Azhar
UMNO Bahagian Beruas meluluskan usul Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadikan ‘poster boy’ dan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)
Ketuanya Datuk Dr Azhar Ahmad, berkata keputusan sebulat suara tanpa bahas itu diluluskan dalam Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Beruas bertempat di Dewan Inderawati, Beruas, semalam.

“Menyedari bahawa semboyan PRU-15 telah dibunyikan seluruh jentera Umno Beruas telah bersedia untuk menghadapi dan memenangi PRU-15.
“Justeru itu, telah saya sematkan di dada semua ahli Umno Bahagian Beruas untuk bersatu hati dan bekerjasama dalam atur gerak kerja bagi memastikan kemenangan milik Umno,” katanya yang dikongsikan di laman Facebook Friends of Datuk Azhar Beruas.

Beliau turut menggesa agar solidarity antara ahli dan pemimpin Umno sentiasa segar dan berkasih sayang.
“Semoga perjuangan kita bagi membela agama, bangsa dan negara mendapat keredhaan Allah SWT,” katanya.
Azhar turut menitipkan pantun dalam hantaran berkenaan.
“Pekan Beruas ada hikayat,
Kisah bersemi cerita bersama,
UMNO berjuang untuk rakyat,
Dulu kini dan selama-lama,”. – Malaysiapost