Dituduh kacau ceramah MUDA, Pemuda Umno Muar lapor polis 

Dituduh kacau ceramah MUDA, Pemuda Umno Muar lapor polis 

PEMUDA Umno Muar membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa kepimpinan MUDA selepas didakwa mencetus provokasi ketika ceramah parti itu di Parit Jawat, Johor semalam. 

Ketuanya, Mohd Helmy Abd Latif, berkata keseluruhan jentera Pemuda Umno Muar terlibat secara langsung dalam Mesyuarat Perwakilan dan juga Pelancaran Jentera Pilihanraya pada hari sama. 

“Secara logiknya mustahil bagi kami untuk meluangkan masa melakukan sesuatu yang tidak langsung mendatangkan faedah kepada parti. 

“Selaku Ketua Pemuda Umno Muar, saya menegaskan bahawa Pemuda Umno Muar khasnya, dan Pemuda Umno secara keseluruhannya menolak politik secara provokasi sebegini dan ia adalah budaya yang tidak diamalkan oleh Pemuda Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Helmy berkata, telah berbincang dengan peguam untuk membuat tindakan saman terhadap mereka yang telah menuduh Pemuda Umno dalam kes tersebut. 

Terdahulu, media melaporkan ceramah mega yang dibarisi kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA malam tadi diganggu sekumpulan ‘mat motor’. 

Gangguan tercetus ketika giliran Presiden MUDA yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq menyampaikan ucapannya. – Malaysiapost

Komen