DUN Perak bubar hari ini

DUN Perak bubar hari ini

PERAK membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembubaran itu selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Saya telah terima warkah pengisytiharan daripada Sultan Nazrin yang membawa maksud Baginda memberi perkenan DUN Perak Ke-14 dibubarkan berkuatkuasa hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pada sidang medianya di Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, Saarani berkata, pembubaran itu membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan serentak dengan PRU-15.

Rabu lalu Saarani dilapor berkata, Sultan Nazrin belum memberi perkenan untuk pembubaran DUN Perak ketika sesi sembah menghadap di Istana Kinta, Ipoh.

Menurutnya, pengumuman keputusan permohonan itu akan dilakukan selepas Baginda membuat pertimbangan sewajarnya.

Setakat ini, dua DUN di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu Perak dan Perlis sudah dibubarkan, selain Pahang dijangka turut mengambil tindakan sama untuk mengadakan pilihan raya bersekali dengan pemilihan di peringkat Parlimen.

Bagi Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak yang baharu melalui PRN pula, DUN tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang. – Malaysiapost

Komen