Gerakan tolak guna logo PAS

Gerakan tolak guna logo PAS

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak akan bertanding di tiga negeri dipimpin Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) memutuskan sekutunya supaya menggunakan logo parti berkenaan.

Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong, berkata parti itu tidak mempunyai masalah untuk menggunakan logo PN, namun secara prinsip dan asasnya Gerakan tidak akan menggunakan logo parti komponen lain.

Katanya, Gerakan tidak akan pernah menjadi seperti DAP yang menggunakan logo sekutunya PKR pada pilihan raya umum lalu hanya untuk memenangi pilihan raya.

Katanya, Gerakan hanya akan mengguna pakai logo gabungan itu, seperti mana ia menggunakan logo Barisan Nasional (BN) ketika menjadi komponen gabungan itu, tetapi tidak menggunakan logo bekas sekutunya, termasuk logo Umno dan MCA.

“Gerakan mengulangi bahawa calon-calonnya di kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akan menggunakan logo PN.

“Bukan logo sekutu (Pas). Jika ini adalah keputusan muktamad yang dibuat oleh PN, kita lebih suka menarik diri daripada pilihan raya dan tiada ruang untuk rundingan, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tong Keong berkata Gerakan Pulau Pinang akan mematuhi keputusan PN jika permintaan mereka untuk menggunakan logo sendiri di negeri utara itu ditolak.

“Gerakan Pulau Pinang membuat permohonan kepada PN untuk menggunakan logo kami sendiri pada pilihan raya akan datang.

“Jika PN memutuskan untuk tidak membenarkannya, kami akan mematuhi penyusunan strategi oleh PN dan akan menggunakan logo PN,” ujarnya yang juga ketua Gerakan Pulau Pinang.

Beliau bagaimanapun, masih berharap Majlis Tertinggi PN akan meneliti kehendak akar umbi parti itu yang mahu menggunakan logo sendiri di Pulau Pinang.

“Kami bagaimanapun tidak akan meminta sekutu kami untuk mengguna pakai logo Gerakan di Pulau Pinang, mereka boleh menggunakan logo PN atau logo milik sendiri,” katanya.

Pada 18 September lalu, Tong Keong mencadangkan Gerakan Pulau Pinang dibenarkan menggunakan logonya sendiri pada PRU-15 kerana masih ramai yang beranggapan parti itu sebahagian daripada BN.

Dalam pilihan raya umum 2018, Gerakan bertanding di 22 kerusi Parlimen dan 33 kerusi DUN di bawah tiket BN. Namun, gagal memenangi sebarang kerusi.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan hari ini, berkata Majlis Tertinggi PN akan mengadakan mesyuarat untuk memuktamadkan logo gabungan itu bagi PRU-15. – Malaysiapost

Komen