Hentikan fitnah, saya dah menang saman – Mujahid 

Hentikan fitnah, saya dah menang saman – Mujahid 

NAIB Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meminta semua pihak menghentikan tuduhan kononnya beliau mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). 

Malah bekas Menteri Agama ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu beliau telah menang kes saman terhadap Harakah berhubung artikel di akhbar lidah rasmi PAS itu yang mengaitkan beliau dengan LGBT. 

“Pagi tadi saya telah menerima beberapa pesanan melalui aplikasi WhatsApp mengenai satu tulisan di Facebook dan Twitter rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bertajuk Mantan Menteri Agama PH Sokong LGBT? 

“Untuk makluman semua saya telah menang kes saman terhadap lidah rasmi PAS Harakah kerana mengfitnah saya terhadap isu LGBT. 

“Saya mohon semua pihak agar berhenti menyebarkan fitnah kerana fakta kes telah membuktikan saya tidak menyokong atau mengiktiraf golongan tersebut semasa pemerintahan PH,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Pada Oktober tahun lalu, Harakah menyiarkan kenyataan maaf terhadap Mujahid berhubung fitnah berkaitan isu golongan LGBT. 

Akhbar itu turut menyiarkan kenyataan maaf wartawannya, Aziz Muda. 

Aziz berkata, dia tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk menjatuhkan maruah, mengaibkan ataupun memfitnah Mujahid dengan penerbitan artikel bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan dan ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH”. – Malaysiapost

Komen