Hujan berterusan, angin kencang dijangka landa Sabah, Sarawak dan Labuan
JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) untuk Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sehingga 18 Oktober 2022.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata amaran itu dikeluarkan susulan perkembangan terkini ribut tropika kuat Nesat yang kini berada di kedudukan 19.7 darjah utara dan 117.2 darjah timur di barat laut Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat menuju Pulau Hainan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan angin kencang di Laut China Selatan dan ramalan terkini menunjukkan sistem ini dijangka meningkat ke tahap taufan menjelang malam ini.
“Dalam masa yang sama, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama telah dikeluarkan pada 9:50 malam, 15 Oktober 2022 dengan kelajuan angin antara 40 hingga 50 km/jam.
“Ketinggian ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di kawasan perairan Laut China Selatan khususnya di perairan Condore, Reef North, Layang-layang, dan Labuan dalam tempoh 18 Oktober 2022 sehingga 20 Oktober 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang awam di kawasan terlibat supaya lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
“Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, dan media sosial rasmi. Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – Malaysiapost