Ismail Sabri mungkin kena pecat kalau tak bubar Parlimen
TAN Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini, bukan demi kepentingan rakyat, tetapi hanya untuk menyelamatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berpendapat pembubaran Parlimen juga bukan atas kehendak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Perdana Menteri bubarkan juga Parlimen walaupun saya rasa dia tak nak, kerana yang desak dia untuk bubar ini ialah Presiden Umno yang juga Pengerusi BN. Siapa dia? Wak Jahid Ponorogo.
“Dia (Zahid Hamidi) ni saya kenal betul..dia yang desak Perdana Menteri supaya cepat-cepat bubar Parlimen.
“Tuan-tuan tahu tak kenapa? Dia ni minta pada Perdana Menteri yang Naib Presiden Umno..Zahid Hamidi Presiden…siapa lebih besar kedudukan? Zahid Hamidi beri arahan kepada Ismail Sabri supaya bubar,” katanya ketika berucap di Jelajah Prihatin Tasek Gelugor, Pulau Pinang, malam tadi.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendakwa, jika Perdana Menteri menolak desakan untuk bubar Parlimen itu kemungkinan akan berdepan nasib seperti penyandang Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
“Kemungkinan besar dia (Ismail Sabri) akan diambil tindakan boleh jadi dia dipecat, boleh jadi dia digantung jawatan..Orang yang dalam keadaan begitu mungkin dia akan lakukan dia tak kira siapa.
“Kerana Zahid Hamidi sekarang ini menghadapi 87 pertuduhan dalam mahkamah. Saya nak terangkan ni supaya balik boleh cerita pada orang lain..memang tak senonoh, kurang ajar, tak hormat tuan-tuan dan puan-puan (rakyat).
“Kemungkinan jika pilihan raya lambat diadakan, mahkamah akan buat keputusan untuk jatuhkan hukuman katakanlah dia didapati bersalah, maka dia tidak boleh lagi bertanding dalam pilihan raya walaupun dia Presiden Umno,” katanya.
Muhyiddin berkata, Ahmad Zahid fikir kalau ada pilihan raya cepat Umno dan BN boleh bentuk kerajaan untuk jadi Perdana Menteri serta boleh mempengaruhi pihak-pihak tertentu yang mungkin dengan sebab itu kesnya akan digugurkan.
“Inilah antara sebab-sebab yang telah mendesak Perdana Menteri akhirnya membuat keputusan pilihan raya diadakan. Bukan atas sebab untuk bela nasib rakyat,” katanya. – Malaysiapost