Jangan cuba pecah belah hubungan baik dengan Presiden – Ismail Sabri
Najamuddin Mohd Nor
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memberi amaran kepada pihak tertentu jangan cuba memecah belahkan hubungan baik beliau dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana Menteri berkata, hubungan beliau dengan Ahmad Zahid sentiasa berada dalam keadaan baik, tidak seperti yang digembar gembur pembangkang selama ini.
“Saya nak tegaskan, tak ada isu pun antara saya dengan Presiden, saya nak beritahu, saya kenal Presiden sejak saya belajar lagi, kenal masa dia belum berkahwin lagi, ketika masih bercinta. Hubungan saya sentiasa baik dengan Presiden.
“Tapi nasi-nasi tambah di luar sana seronok yang mencanangkannya kerana nak melihat kita berpecah. Pembangkang suka melihat kita berpecah, kita berlaga dia yang untung. Jadi kita mesti bersatu dia yang rugi.
“Jangan cuba-cuba lah, tidak ada perkara yang boleh cuba memecahbelahkan hubungan saya dengan presiden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional Perak di Dewan Umno Bahagian Bagan Datuk, hari ini.
Penegasan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno itu sememangnya menjadi tumpuan ketika bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika ini.
Semalam, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan bahawa Ismail Sabri akan dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 sekiranya BN menang PRU15 nanti.
Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk menafikan beliau mengidam jawatan Perdana Menteri.
Sebaliknya keputusan itu selari dengan ketetapan pada Persidangan Agung Umno lalu bahawa Ismail Sabri adalah ‘poster boy’ BN pada PRU15 ini.
Setakat ini, lebih 10 Umno bahagian menyokong Ismail Sabri dilantik semula sebagai Perdana Menteri sekiranya BN membentuk kerajaan selepas PRU15 ini. – Malaysiapost