Jho Low, bapa dihukum penjara 

Jho Low, bapa dihukum penjara 

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara ke atas Low Taek Jho atau Jho Low, dan bapanya, Larry Low Hock Peng, sehingga salah laku menghina mahkamah mereka dibuang. 

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz mengeluarkan waran komital berikutan permohonan peguam Siva Kumar Kanagasabai, mewakili 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikat yang memulakan prosiding menghina terhadap kedua-dua individu tersebut. 

Hayatul turut mengarahkan dua beranak itu membayar kos RM5,000 kepada 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Ltd, yang dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Ltd. 

Mereka tidak diwakili setelah peguam daripada Tetuan Valen & Oh sebelum ini menarik khidmat mereka kerana tidak mendapat arahan lanjut. 

Sivakumar kemudiannya memberitahu pemberita, hukuman penjara itu akan terus berkuat kuasa sehingga salah laku penghinaan itu dibuang. 

“Kami juga akan mengeluarkan salinan perintah komital kepada polis,” katanya memetik Free Malaysia Today. 

Pada 12 Ogos, Hayatul membenarkan 1MDB dan anak syarikatnya memulakan prosiding penghinaan selepas tidak menerima sebarang maklum balas daripada Low dan Hock Peng berikutan injunksi Mareva. 

Kedua-duanya sepatutnya mendedahkan aset dan lokasi mereka kepada Tetuan Skrine. 

Hayatul mengeluarkan injunksi ex parte Mareva terhadap kedua-dua individu itu pada Mac untuk membekukan aset mereka, yang berjumlah USD1.43 bilion (RM6.35 bilion). 

Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga kes antara plaintif dan defendan selesai. 

Injunksi itu juga mengehadkan Jho Low dan bapanya daripada membelanjakan lebih daripada RM20,000 sebulan setiap seorang untuk kos sara hidup dan guaman. Jika mereka memerlukan lebih daripada jumlah tersebut, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada 1MDB dan peguam Global Diversified. 

Tahun lalu, 1MDB dan empat anak syarikatnya, iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd dan 1MDB Energy (Langat) Ltd telah memfailkan saman USD3.7837 bilion terhadap Hock Peng, Low, ibunya Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen dan sekutu Eric Tan Kim Loong. 

Jho Low, yang turut berdepan tuduhan jenayah di Kuala Lumpur dan di Amerika Syarikat atas dakwaan mendalangi penyelewengan USD4.5 bilion dana 1MDB, dipercayai berada di Macau atau China. 

Bagaimanapun, Beijing menafikan melindungi ahli perniagaan itu. 

Notis Merah juga telah dikeluarkan oleh Interpol bagi penahanan Jho Low. – Malaysiapost

Komen