Mas Idayu nafi rumah tangga goyah
PENYANYI dangdut Mas Idayu menafikan rumah tangga yang baru dibinanya sejak sebulan lalu goyah seperti dilaporkan sebuah portal hiburan.
Bengang dengan laporan itu, Mas Idayu atau nama sebenarnya Masidayu Mesnun, 50, berkata dia kini bahagia dan perkahwinannya dalam keadaan baik-baik sahaja.
“Saya sakit hati dan kecewa sangat. Apa yang membuatkan saya marah apabila ada tajuk berita portal mengatakan ‘baru bahagia dah berduka’.
“16 Oktober lalu baru saja genap sebulan. Mummy ok saja, inai di jari pun tak hilang lagi jangan nak buat andaian rumah tangga mummy. Biar mummy yang uruskan dan doakan mummy bahagia,” katanya menerusi Instagram miliknya.
Mas Idayu menjelaskan perkara itu berikutan terdapat sebuah blog hiburan melaporkan rumah tangga penyanyi itu kini sedang bergolak selepas dia memuat naik video dan kapsyen berbunyi ‘berselindung di sebalik senyum dan tawa… i’am okey’.
Penyanyi lagu Cinta 100% itu turut meminta semua pihak berhati-hati dalam berkongsi sesuatu perkara yang tidak betul terutama melibatkan rumah tangganya.
“Saya okey sahaja, kalau nak tahu apa-apa tanya dahulu, kalau kami nak berkongsi okey, kalau tidak maknanya itu hal personal. Kami masing-masing ada keluarga,” katanya.
Sementara itu, Mas Idayu berkata dia dan suaminya kini sibuk dengan kerja masing-masing menyebabkan mereka tidak selalu muncul bersama.
“Apa yang korang nak sebenarnya, nak tengok Mummy dan Daddy berkepit je hari-hari. Kami sangat-sangat sibuk dengan kerja,” katanya.
Mas Idayu menamatkan zaman janda dengan Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, dengan sekali lafaz pada 16 September lalu.
Mas Idayu dan Muhammad Sufian berkenalan sejak terbabit dalam program Mentor 3 pada 2008.
Sebelum ini, Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor, Aman Graseka pada 1997, namun bercerai pada 2006. – Malaysiapost