Pemain PJ City maut kemalangan
PEMAIN senior skuad Petaling Jaya City (PJ City), P Rajesh maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya di Batu Caves, malam tadi.
Berita kematian pemain berusia 37 tahun itu dikongsi PJ City FC menerusi hantaran di Facebooknya pagi ini.
“Takziah diucapkan kepada keluarga Rajes Perumal, yang meninggal dunia awal pagi tadi. Ia hari yang menyedihkan untuk kami di PJ City FC.
“Dia adalah pemain yang hebat dan mentor kepada semua pemain muda di kelab ini,” tulis PJ City FC menerusi hantaran tersebut.
Mendiang membuat penampilan terakhir sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang KL City FC pada saingan Liga Super, Sabtu lalu.
Rajesh memulakan karier sebagai pemain profesional sejak 2011 apabila beraksi bersama PKNS FC dan membantu kelab itu menjuarai Liga Premier pada tahun sama.
Mendiang kemudian mewakili Selangor FC pada 2014 sebelum menyarung jersi Kedah pada 2015.
Beliau menyertai PJ City pada 2018 dan kekal sehingga 2022. – Malaysiapost