PM setuju hutang FELCRA dihapuskan
KERAJAAN bersetuju melupuskan kesemua hutang lapuk projek Felcra Berhad membabitkan kos sebanyak RM233.8 juta sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) terus mentadbir negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan berita baik itu berkata, ia membabitkan kawasan seluas 22,173 hektar tanah dikenal pasti sebagai projek kurang berdaya maju.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira ketidakmampuan peserta untuk melunaskan hutang lapuk lebih 30 tahun yang mengakibatkan hasil rendah dan projek kurang berdaya maju.
“Saya sudah dimaklumkan mengenai masalah hutang FELCRA yang belum selesai membabitkan 20,000 peserta yang tidak dapat dilupuskan sehingga Disember 2021.
“Sehingga Disember 2021 terdapat 323 projek sakit. Saya difahamkan pengerusi FELCRA perkara ini sudah dibincangkan dalam Lembaga Pengarah FELCRA dan sudah meluluskan untuk memohon kerajaan menghapus kira hutang ini.
“Pada dasarnya kerajaan bersetuju menghapus kira hutang lapuk berkenaan,” katanya dipetik Berita Harian.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peserta Felcra Berhad & Pekebun Kecil RISDA di Arena Merdeka Tapah, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ismail Sabri berkata, walaupun beliau sudah bersetuju tetapi dari segi peraturan perkara itu perlu dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk kelulusan.
“Saya dah bincang dengan Menteri KPLB bawa dalam mesyuarat kabinet, tetapi mesyuarat kabinet tidak boleh diadakan sekarang ini kerajaan telah membubarkan Parlimen, Jadi bergantung kepada rakyat semua lah (menentukan kerajaan mentadbir),” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pembayaran tambahan RM200 selama empat bulan untuk peserta RISDA yang terkesan ekoran musim hujan dan tengkujuh.
“Bagi membantu pekebun kecil yang terjejas akibat musim tengkujuh yang diunjurkan berlaku akhir tahun ini, kerajaan meluluskan sejumlah RM191 juta Bantuan Musim Tengkujuh membabitkan seramai 232,319 pekebun kecil RISDA dengan kadar RM600 yang akan diagihkan pada November dan Disember ini.
“Jadi, sebab itulah untuk tahun 2023, kita tambah elaun musim tengkujuh RM200 sebulan selama empat bulan dari RM600 menjadi RM800, sekurang-kurangnya membantu waktu musim tengkujuh,” katanya. – Malaysiapost