PM ucap tahniah kepada Team Haq
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada pasukan e-sukan Team Haq yang menjuarai Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY musim ke-10 dengan mengalahkan juara bertahan Todak, 4-2.
Beliau berkata, kejayaan seperti itu adalah bukti negara mempunyai bakat muda yang perlu disokong dan digilap untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Menurutnya, Team Haq akan membawa Jalur Gemilang mewakili Malaysia bersama pasukan Todak ke Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 (M4)yang akan berlangsung di Jakarta, tahun depan.
“Sudah terbukti bakat anak muda e-sukan kita semakin hebat. Semoga pertandingan di peringkat dunia akan menyerlahkan lagi bakat mereka. Malaysia Boleh!,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Skuad e-sukan Team Haq mencipta sensasi apabila berjaya muncul juara pada penampilan sulungnya dalam perlawanan Grand Final Liga MPL MY musim Ke-10 dengan mengejutkan juara bertahan Todak.
Kejuaraan diraih skuad berkenaan dalam kejohanan berlangsung selama lebih dua bulan.
Ia sekali gus melayakkan mereka untuk beraksi di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 (M4) dijadual berlangsung di Jakarta, Indonesia tahun depan.
Team Haq hari ini dibarisi oleh lima pemainnya iaitu Muhammad Syafizan, Aiman Zairie Anuar, Poh Chun Wai, Aimin Zairie Anuar dan Mohamad Nilzaihan. – Malaysiapost