Program PN cuba disabotaj – Wan Saiful
MUSUH Perikatan Nasional (PN) cuba mensabotaj program-program diadakan gabungan itu termasuk menggunakan pihak berkuasa sebagai cubaan untuk menyekatnya.
Dakwaan itu dibuat Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang mengatakan keadaan itu berlaku kepada program Jelajah Prihatin Tasek Gelugor yang diadakan malam tadi.
Menurutnya, cubaan sabotaj itu bagaimanapun berjaya ditangani dan program berkenaan dapat diadakan dengan jayanya serta mendapat sambutan ramai oleh penyokong PN
“Alhamdulillah Jelajah Prihatin Tasek Gelugor, Pulau Pinang, menerima sambutan yang amat baik. Lebih 4,000 orang awam hadir mendengar amanat para pemimpin PN untuk pengundi Tasek Gelugor.
“Jelas sekali ada sokongan yang tinggi kepada PN di Tasek Gelugor. Terima kasih warga Tasek Gelugor!
“Musuh politik PN amat takut dengan program-program PN. Mereka cuba sabotaj Jelajah Prihatin Tasek Gelugor dengan pelbagai cara, termasuklah cuba menggunakan pihak berkuasa sebagai cubaan untuk menyekat kami,” katanya dalam satu hantan di Facebook, hari ini.
Tanpa menamakan mana-mana pihak atau parti politik yang cuba melakukan sabotaj itu, Wan Saiful berkata tindakan berkenaan membuktikan mereka kehabisan modal untuk menyekat kemaraan PN.
“Kita telah tunjukkan kepada rakyat bahawa di bawah PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar memberi fokus kepada kebajikan rakyat. Semua lapisan rakyat dapat bantuan. Kita utamakan rakyat, bukan mahu menyelamatkan diri sendiri sahaja.
“Saya yakin, dengan Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, tak kira siapa calon yang diletakkan Tasek Gelugor, wakil rakyat PN itu akan memastikan kebajikan rakyat,” katanya.
Menurutnya, PN memberi fokus kepada masalah dihadapi rakyat termasuk pesawah, nelayan dan golongan muda di Tasek Gelugor dan ia memerlukan kerajaan yang prihatin, cekap serta bersih untuk menyelesaikannya.
“Bukan fokus kepada individu yang tergila-gilakan jawatan Perdana Menteri, dan bukan fokus kepada lari dari kes mahkamah.
“Hakikatnya, walaupun kita mungkin bertanding banyak penjuru, tapi sebenarnya pilihan yang baik, pilihan yang berintegriti, sebenarnya tidak banyak.
“Ada satu saja pilihan yang bersih dan ikhlas, iaitu PN. Pengundi perlu buat pilihan yang baik dan pilih PN,” katanya. – Malaysiapost