PRU15: Hamid Bador, Ahmad Idham calon Parlimen Rembau dan Port Dickson.
BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan pengarah yang juga pelakon, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, antara dua individu disenaraikan Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail, berkata nama Abdul Hamid termasuk dalam senarai yang dicadangkan sebagai calon gabungan itu untuk bertanding di Parlimen Rembau.
Katanya, Ahmad Idham pula dicadangkan sebagai calon bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.
“Kedua-dua nama individu berkenaan termasuk dalam senarai yang saya bawa ke peringkat pucuk pimpinan sebagai calon GTA Negeri Sembilan menerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
“Keputusan sama ada Abdul Hamid terpilih calon bertanding di Parlimen Rembau dan Ahmad Idham bagi kerusi Parlimen Port Dickson akan ditentukan pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya dipetik Berita Harian.
Mengulas lanjut, Mohamad Jani yang juga Timbalan Pengerusi GTA dan Ketua Pejuang Negeri Sembilan, berkata GTA perlu meletakkan nama besar seperti Abdul Hamid dan Ahmad Idham bagi memberikan saingan sengit di kedua-dua kerusi terbabit.
“Bagi saya buat masa ini dialah (Abdul Hamid) calon paling terbaik untuk GTA di Parlimen Rembau, lebih-lebih lagi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dikhabarkan akan bertanding di situ kali ini,” katanya.
Beliau berkata, walaupun keputusan muktamad akan ditentukan pucuk pimpinan tidak lama lagi, namun Ahmad Idham yang baru dilantik sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan, dilihat tokoh yang boleh memberikan saingan di kerusi Port Dickson.
“Kita (GTA) perlu letakkan nama besar seperti Abdul Hamid dan Ahmad Idham untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya kali ini,” katanya. – Malaysiapost