Syed Saddiq maafkan kumpulan ‘kacau’ ceramah MUDA

Syed Saddiq maafkan kumpulan ‘kacau’ ceramah MUDA

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaafkan sekumpulan anak muda yang cuba menimbulkan provokasi semasa ceramahnya di Parit Jawa, Muar Johor semalam.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, kumpulan anak muda tersebut bukanlah musuhnya.

“Saya di sini untuk bela kamu, bukan lawan kamu. Kepada kumpulan anak muda ini, kamu bukanlah musuh saya, saya maafkan kamu,” katanya dalam video di Instagram.

Syed Saddiq menegaskan pihaknya sedang sedaya upaya berbuat yang terbaik demi masa hadapan generasi muda.

“Saya faham lebih 71 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak ingin melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) kerana dengan menjadi graduan, gaji masih rendah dan menanggung beban hutang pendidikan yang tinggi.

“Saya juga faham ketika dua pertiga anak muda apabila ditanya sanggup meninggalkan negara untuk pekerjaan yang lain kerana tidak ada pekerjaan yang bermaruah untuk mereka di Malaysia.

 “Kerana itulah saya ingin tolong kalian semua untuk mendapatkan pekerjaan dan taraf hidup yang lebih baik supaya satu masa nanti kita dapat tinggal dalam Malaysia yang lebih baik,” ujarnya lagi.

Beliau turut berkata, pihaknya juga berusaha memberikan yang terbaik bagi membantu seluruh warga Muar.

“Sebab itu ketika musim Covid- 19, saya dan kumpulan sentiasa berusaha dapatkan komputer riba yang berkualiti bagi anak-anak Muar yang terputus pendidikan atas talian dan juga dapatkan ratusan ribu ringgit untuk biasiswa Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi keluarga yang susah,” jelasnya.

Dalam masa sama, ujarnya segala bantuan yang disalurkan tidak mengambil kira soal agama, bangsa dan fahaman politik.

“Walaupun kamu lawan saya, saya tetap hormat kamu dan bantuan wajib diberikan tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan ceramah mega yang dibarisi kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA malam tadi diganggu sekumpulan ‘mat motor’.

Kumpulan tersebut dikatakan melaungkan ‘penipu’ dan disusuli dengan cubaan untuk merusuh kawasan khemah.

Bagaimanapun, cubaan tersebut dihalang oleh sekumpulan penyokong parti MUDA dan polis yang tidak membenarkan mereka daripada memasuki khemah. – Malaysiapost

Komen