Tak payah nak masuk jarum – Ahmad Zahid
TAK payah masuk jarum nak pecah belahkan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata, hubungan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harmoni dan tidak berlaku perselisihan faham antara mereka berdua di dalam Umno.
“Saya harap pertemuan dalam solidariti ini kita ketepikan pandangan berbeza.
“Saya tahu beliau ada penyokong, saya pun ada penyokong. Beliau juga ada penasihat saya juga ada penasihat. Kita hargai mereka. Kita kena ingatkan penasihat, nasihat yang baik-baik, jangan jadi punahsihat,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran BN Negeri Perak di Dewan Perdana Kompleks Umno Bagan Datuk, hari ini.
Pada masa sama Ahmad Zahid menjelaskan beliau mengenali Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden Umno, sekitar tahun 1973 ketika menuntut di Universiti Malaya melalui abang Ismail Sabri yang tinggal sebilik dengannya.
Hubungan kedua-kedua pemimpin Umno ini menjadi sasaran pembangkang ketika bahang Pilihan Raya Umum ke-15 semakin terasa.
Semalam, Ahmad Zahid menegaskan, calon Perdana Menteri BN tetap Ismail Sabri selari dengan ketetapan yang diputuskan Perhimpunan Agung Umno lalu.
Katanya, Ismail Sabri akan menjadi pilihan BN untuk dilantik Perdana Menteri ke-10 sekiranya gabungan itu menang PRU15. -Malaysiapost