Tun M lawat mangsa banjir di Langkawi

Tun M lawat mangsa banjir di Langkawi

TUN Dr Mahathir Mohamad hadir ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan As Syifa Mat Sirat, Langkawi untuk melawat mangsa terlibat dengan bencana banjir yang berlaku semalam.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, banjir yang melanda kawasan itu mengakibatkan beberapa rumah dan kedai dinaiki air.

“Alhamdulillah pagi ini cuaca baik dan penduduk sudah mula kembali ke rumah mereka.

“Saya juga ingin ucap terima kasih pada agensi keselamatan yang bertugas selamatkan penduduk di sini atas tindakan pantas mereka.

“Mereka telah dapat selamatkan semua mangsa banjir, termasuk yang terperangkap di Telaga Tujuh akibat fenomena kepala air,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu juga melawat ke pasar Padang Mat Sirat dan memaklumkan operasi tempat perniagaan itu masih berjalan seperti biasa hari ini meskipun terlibat dengan banjir.

“Sekali lagi saya ucap terima kasih atas kecekapan dan kesediaan pasukan Polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan petugas kesihatan untuk selamatkan penduduk dan pelawat di Langkawi,” ujarnya.

Media melaporkan sebanyak 14 kawasan di empat mukim di Langkawi dinaiki air susulan hujan lebat dan angin kencang sejak jam 6 pagi semalam. – Malaysiapost

Komen