Umno Kota Tinggi sokong Ismail Sabri calon PM

Umno Kota Tinggi sokong Ismail Sabri calon PM

UMNO Bahagian Kota Tinggi menyokong keputusan kepimpinan tertinggi Umno menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketuanya, Mhd Ali Piee, berkata ia akan membolehkan usaha pemulihan dan merancakkan ekonomi yang sedang dilakukan kerajaan pimpinan Ismail Sabri ketika ini diteruskan.

“Ia juga bagi memacu ekonomi negara yang lebih berdaya saing demi memberi kelegaan dan keselesaan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya keputusan itu dibuat semasa mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi, semalam.

Pada masa sama Mhd Ali berkata, adalah penting bagi Umno memastikan hubungan harmoni, solidariti dan kesatuan fikrah perjuangan antara Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri serta seluruh barisan kepimpinan Umno.

Katanya, ia bagi memastikan parti itu berada dalam keadaan kukuh berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Memahami bahawa Umno menggalas misi rakyat dalam menyertai PRU15, justeru matlamat Umno adalah untuk mencapai kejayaan cemerlang agar dapat menguasai kerajaan secara mutlak,” katanya.

Tambahnya, menyedari hanya Umno mempunyai asas perjuangan jitu dan pengalaman pentadbiran luas untuk mewujudkan kerajaan stabil demi meneruskan agenda membela rakyat, maka keputusan kepimpinan parti dan Perdana Menteri bagi mendapatkan mandat rakyat sebenar demi kestabilan dan kemakmuran negara amatlah disokong. – Malaysiapost

Komen