Wanita rugi lebih RM1.4 juta akibat bercinta di alam maya
SEORANG wanita tempatan berusia 54 tahun menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ dan mengalami kerugian lebih RM1.4 juta sepanjang perkenalan dengan lelaki warga asing yang hanya dikenali di laman Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak April lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata sepanjang tempoh perkenalan dengan lelaki yang mengaku bekerja sebagai jurutera di New Zealand, mangsa tidak pernah berjumpa suspek.
“Pada April hingga Oktober ini, suspek telah meminta mangsa untuk mendahulukan wangnya bagi membeli bahan mentah kononnya untuk projek yang sedang dijalankannya.
“Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek telah memasukkan wang ke dalam empat akaun yang berbeza sebanyak 37 transaksi berjumlah keseluruhan RM1,445,900,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian menerima panggilan telefon mendakwa dari syarikat penghantar barang antarabangsa yang menyatakan terdapat barang milik mangsa yang dikirimkan suspek.
“Pada 8 September lalu, dua suspek berjumpa mangsa dengan membawa bag berisi wang (USD4,200,000) kepada mangsa tetapi dengan syarat kononnya mangsa perlu mempunyai sijil pemilikan barangan itu. Jika tidak, mangsa diminta membayar yuran simpanan sebanyak RM170,000.
“Mangsa menolak kerana telah tiada wang dan mula sedar ditipu selepas suspek meminta wang tambahan lagi bagi menampung pembelian bahan mentah untuk projek yang tidak diketahui mangsa,” katanya.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menahan tiga lelaki warga Afrika di sebuah restoran di OUG Parkland, Kuala Lumpur kerana dipercayai terbabit dalam kes penipuan berkenaan.
“Hasil soal siasat awal, ketiga-tiga suspek mula datang ke Malaysia sejak 2019 sehingga kini dengan menggunakan pas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan tidak bekerja.
“Kesemua suspek direman selama empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – Malaysiapost