5 permintaan guru dapat perhatian PM

5 permintaan guru dapat perhatian PM

PEMUDA Umno Malaysia menjalinkan hubungan akrab dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) sejak setahun lalu bagi membantu membawa suara guru-guru.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata banyak isu-isu yang disuarakan sudah disampaikan ke pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, ia termasuklah kebenaran untuk guru-guru Gred 54 ke atas terus menjadi ahli NUTP.

Beliau berkata, terbaru pada 1 Oktober lalu, NUTP sekali lagi membawa lima permintaan untuk dipertimbangkan kerajaan yang mendapat reaksi amat positif Perdana Menteri.

“Antaranya, pengurangan kerja-kerja tidak relevan yang mewujudkan beban tugas guru dan perlantikan warden sepenuh masa di asrama sekolah.

“Meningkatkan bayaran pengawas peperiksaan awam dan kadar bayaran pemeriksa kertas peperiksaan tersebut; disegerakan pembayaran ganti cuti rehat (GCR) kepada guru-guru yang layak dan telah membuat permohonan; dan dipercepatkan pelaksanaan model sekolah,” katanya di Facebook, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, Perdana Menteri telah bersetuju dengan semua cadangan berkenaan.

“Insya-Allah Pemuda Umno-Barisan Nasional akan ‘follow-up’ dan ‘follow-through’ segala yang dipersetujui ini sebagaimana lazim yang kami lakukan sebelum ini.

“Apa lagi cadangan penting yang boleh BN masukkan sebagai antara agenda pendidikan jika diberikan amanah menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti? soalnya. – Malaysiapost

Komen