Adakah AGC akan ambil tindakan terhadap ‘boss lama’ mereka? – soal Khaled

Adakah AGC akan ambil tindakan terhadap ‘boss lama’ mereka? – soal Khaled

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempersoalkan adakah pimpinan Jabatan Peguam Negara sekarang akan mengambil tindakan kepada Tan Sri Tommy Thomas.

Ini kerana menurut Mohamed Khaled, Thomas adalah bekas Peguam Negara yang mengetuai jabatan tersebut ketika era pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH)

“Rakyat Malaysia pasti ingin tahu kebenaran dan adakah Jabatan Peguam Negara (AGC) sekarang akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap boss lama mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambah Mohamed Khaled, keadilan mesti ditegakkan tanpa mengira siapa yang terlibat.

“Patut juga disiasat sama ada pejabat AG (Peguam Negara) diperalatkan menjadi instrument (alat) balas dendam politik oleh kerajaan ketika itu,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju untuk menyahklasfikasi dan mendedahkan kepada umum Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas buku Thomas “My Story: Justice in The Wilderness”.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua pasukan petugas khas telah membentangkan laporan siasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku itu.

Sebelum ini Malaysiapost antara portal pertama mendedahkan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mahu mendedahkan laporan berkenaan kepada umum.

Pada 1 Oktober lalu, polis mengambil keterangan Thomas berhubung siasatan ke atas buku memoir yang ditulisnya.

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noorsiah Mohd Saaduddin, pihak berkuasa telah membuka kertas siasatan berhubung isu itu. – Malaysiapost

Komen