Agong berkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan DKAT
YANG Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT), hari ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut berkenan hadir dalam istiadat itu yang diadakan di Istana Negara.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, memaklumkan dalam istiadat itu sebanyak enam darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera, 12 Panglima Setia Angkatan Tentera dan 34 Panglima Angkatan Tentera dikurniakan.
Beliau berkata, selain itu turut dikurniakan 118 Kesatria Angkatan Tentera dan 114 Bentara Angkatan Tentera, serta penerima DKAT Kehormat.
“Satu lagi detik yang bermakna dan bersejarah dalam kamus perjuangan sebagai perajurit. Tahniah semua penerima Darjah DKAT di Istana Negara hari ini.
“Tahniah juga kepada penerima DKAT Kehormat terdiri daripada Kepimpinan Tertinggi Angkatan Tentera dari Malaysia, Arab Saudi, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Hishamuddin turut mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua Baginda yang berkenan menyempurnakan istiadat berkenaan.
“Menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong atas limpah perkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan DKAT. Daulat Tuanku!” katanya. – Malaysiapost