‘Alhamdulillah Ainul Mardhiah sihat, berat makin naik’ – ibu

‘Alhamdulillah Ainul Mardhiah sihat, berat makin naik’ – ibu

ADIK Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang pernah menghidap barah mulut, dan dilaporkan kritikal dua bulan lalu, kini semakin sihat.

Perkembangan terkini kanak-kanak itu dikongsikan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 27, menerusi Instagram (IG), semalam.

“My princess (Puteriku). Alhamdulillah Ainul Mardhiah sihat, cergas dan ceria.

“Cuma kadang-kadang tu kalau bad mood (emosi tidak baik), mengamuk sampai baling barang. Berat pun makin naik,” tulisnya dalam hantaran itu.

Perkongsian tersebut melegakan perasaan pengikutnya di laman media sosial tersebut yang sejak dari awal mengikuti perkembangan terkini Ainul Mardhiah.

“Alhamdulillah, semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Sayang Ainul,” kata Noorhayatihjsulaiman.

“Sangat-sangat kuat Allah bagi. Bayi bertuah,” ujar Ieeda tk.

“Semoga terus sihat. Gembira tengok senyuman Ainul,” kata Zainaines.

Kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, itu dilaporkan kritikal pada 1 Ogos lalu, selepas mengalami empat hingga lima kali sawan dalam tempoh tidak sampai 12 jam.

Kisah penderitaan Ainul Mardhiah sebelum ini mendapat perhatian negara pada 2019 dan ramai pihak tampil membantu termasuk pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantu kanak-kanak itu menjalani pembedahan di London. – Malaysiapost

Komen