‘Allah jadi saksi, saya tidak merapu’ – Asyraf Wajdi

‘Allah jadi saksi, saya tidak merapu’ – Asyraf Wajdi

KETUA Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan dirinya bercakap benar berhubung isu 47 kerusi yang dijanjikan Bersatu buat PAS jika parti itu memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam hantaran di Facebook, Asyraf Wajdi berkata perkara tersebut dimaklumkan wakil PAS ketika pertemuan antara pemimpin parti berkenaan dengan Umno, baru-baru ini.

“Allah menjadi saksi, ramai juga menjadi saksi bahawa saya tidak merapu dan tidak menipu, jauh sekali memungkiri sebarang janji,” tulisnya dalam hantaran itu.

Hantaran tersebut dipercayai berkaitan penafian Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan wujudnya perbincangan mengenai tawaran 47 kerusi daripada Bersatu.

Tuan Ibrahim dilapor turut membidas tindakan Asyraf Wajdi yang ‘membongkar’ pertemuan antara tiga pemimpin parti itu bersama beberapa barisan pemimpin dalam Umno.

Ia setelah Ketua Pemuda Umno itu memuat naik gambar pertemuan antara pemimpin dua parti tersebut di Facebook miliknya baru-baru ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mempertahankan tindakan Asyraf Wajdi dengan mengatakan bahawa beliau tidak merapu dan tidak menipu bersama bukti gambar.

Berdasarkan gambar dimuatnaik Asyraf Wajdi sebelum ini, kelihatan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan perbincangan dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim.

Asyraf Wajdi turut menerangkan bahawa gambar itu adalah membabitkan pertemuan lapan mata antara presiden dan timbalan presiden kedua-dua parti yang dibuat pada 12 Oktober iaitu sehari sebelum PAS membuat keputusan kekal bersama PN dalam mendepani PRU15. – Malaysiapost

Komen