Annuar berhasrat jadi calon lagi

Annuar berhasrat jadi calon lagi

PENYANDANG kerusi Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa menyuarakan hasrat menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun menurutnya segala keputusan terserah kepada ‘Top 5’ Umno.

“Untuk kali ini (senarai calon) kena tanya Top 5, sebab saya difahamkan Top 5 Umno yang menentukan calon (Umno).

“Sebenarnya ramai bukan saya saja sentiasa teringin untuk menjadi calon. Kalau kita ada keinginan untuk berkhidmat, maka kena ada keinginan untuk menjadi calon.

“Itu keinginan. Tetapi sama ada menjadi calon untuk mewakili mana-mana parti, maka parti yang menentukan, bukan kita.” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022, di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan bagi menghadapi PRU-15, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Ketereh berpendapat semua pihak sudah turun padang termasuk Umno.

“Apa yang saya perhatikan semua orang telah turun ke bawah dan bagi Umno kebetulan kita sedang menyempurnakan persidangan Perwakilan Umno di semua bahagian pada Jumaat, Sabtu dan Ahad lalu.

“Serentak dengan itu, semua bahagian di seluruh Malaysia telah turut melancarkan jentera pilihan raya. Bermakna dari segi kesiapsiagaan saya percaya Umno dan Barisan Nasional (BN) berada di hadapan,” katanya.

Annuar berkata, Umno dan BN mempunyai tamplet kerja dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah lama diamalkan, maka tiada masalah dari segi persiapan di semua tempat

“Ketereh bergantung pada pendirian rakyat di Ketereh sendiri. Pengundi Ketereh adalah pengundi yang cukup bijak dan saya percaya untuk kali ini juga (PRU-15).

“Sesiapa yang menjadi calon nanti hendaklah berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab sepertimana rakyat harapkan, itu yang penting,” katanya. – Malaysiapost

Komen