Bentuk kerajaan dengan PAS: Tunggu selepas PRU – PM

Bentuk kerajaan dengan PAS: Tunggu selepas PRU – PM

TUNGGU selepas pilihan raya, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab persoalan sama ada Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan PAS bagi mewujudkan kerajaan majoriti.

Perdana Menteri juga tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung persoalan tersebut kerana yang penting ketika ini adalah persiapan BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita tunggu dulu keputusan. Saya tak mahu buat andaian terlalu awal. Yang pentingnya kita nak kekuatan,” kata Naib Presiden Umno itu hari ini, lapor Malaysia Gazette.

Beliau ditemui media selepas Konvensyen Kontraktor Bumiputera 2.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-43 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia di ibu negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata pembahagian kerusi antara komponen BN kini dalam proses dan ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

“Kita tiada masalah bahagi kerusi sebab kita ada bilangan komponen yang sedikit iaitu Umno, MCA, MIC dan PBRS. Ini lebih mudah untuk kita bincang dan selesai pembahagian kerusi, kita akan nilai calon pula.

“Sekarang pembahagian dan penilaian calon dalam proses. Kita sudah dapat semua senarai calon dari Umno negeri dan ‘top five’ akan semak serta bincang,” katanya. – Malaysiapost

Komen