Farid Kamil beri 5 sebab kenapa Anwar layak jadi PM ke-10
PELAKON dan pengarah Farid Kamil memberi bayangan menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Sokongan itu ditunjukkan menerusi dua hantaran di Instagram, salah satunya video pendek menyenaraikan lima sebab mengapa Anwar layak menjadi Perdana Menteri ke-10.
Dalam video tersebut memberitahu bahawa Anwar pernah menjadi Menteri Kewangan Terbaik dunia dan Asia dan imejnya sebagai pemimpin yang dikenali di peringkat antarabangsa.
Video itu ditamatkan dengan soalan: “Anda rasa siapakah yang layak jadi perdana menteri ke-10?”
Dalam masa sama, video kedua dimuat naik lima hari lalu yang memaparkan wawancara Anwar berkenaan tindakannya menghalang rasuah ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Bagai mimpi datang menyapa, ‘biar buta satu mataku, asalkan terbuka mata hati rakyat’,” kata Farid pada hantaran itu.
“Kalau takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan,” tulis Farid, memetik ucapan yang sering dilaungkan Anwar dalam ceramahnya.
Ini bukanlah kali pertama Farid, 41, menunjukkan kecenderungannya kepada mana-mana pihak dalam politik.
Sebelum ini, dia secara terbuka menyatakan rasa bahagianya selepas PH menang dalam PRU-14 dan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. – Malaysiapost