Geng samun guna Waja kelabu mengganas

Geng samun guna Waja kelabu mengganas

POLIS mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian samun bersenjatakan parang membabitkan kumpulan lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu di dua lokasi berasingan di Kapar dan Bukit Raja, Klang semalam.

Satu daripada kejadian samun itu turut tular di media sosial melalui satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan beberapa lelaki menaiki Proton Waja warna kelaby bertindak menyamun sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 4.19 petang dan 5.51 petang semalam daripada dua mangsa yang disamun.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada jam 3.05 petang di Taman Intan, Kapar membabitkan mangsa seorang wanita yang juga suri rumah.

“Semasa kejadian mangsa sedang mengemas rumahnya dalam keadaan pintu dan pagar terbuka.

“Sebuah kereta Proton Waja warna kelabu yang dinaiki empat lelaki bersenjatakan parang telah keluar dari kereta dan menyamun mangsa yang ketika itu sedang mengemas di bahagian dapur. Mangsa telah kerugian tiga rantai emas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sejurus selepas kejadian pertama, satu lagi kejadian samun dilaporkan berlaku pada jam 3.20 petang sama di Taman Klang Utama, Bukit Raja yang membabitkan mangsa seorang lelaki.

“Semasa kejadian mangsa telah ditahan suspek yang menggunakan kereta Proton Waja warna kelabu sebelum dua lelaki menarik dua rantai emas dipakai mangsa.

“Mangsa telah mengalami sedikit kecederaan akibat pergelutan di bahagian leher,” katanya.

Vijaya Rao meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Saiful Hazwan Mohamad Ridzuan di talian 016-7404177 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Pihak polis juga menyeru orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kawasan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya. – Malaysiapost

Komen