Institusi pendidikan PAS terima semua murid, tak kira ideologi politik
PEMUDA PAS Sabah tidak pernah menolak permohonan belajar daripada mana-mana pihak di institusi pendidikan diasaskan parti itu atas alasan berlainan ideologi politik termasuk daripada Parti Warisan.
Ketuanya, Hendri Hamsah berkata institusi pendidikan Pemuda PAS seperti PASTI, SRITI dan SMITI profesional mendidik anak bangsa walaupun ibu bapa mereka berlainan ideologi politik daripada parti tersebut.
Katanya lagi, Pemuda PAS tidak pernah sekali-kali bersifat diskriminasi terhadap mereka kerana fokus utama institusi pendidikannya adalah menyebarkan ilmu asas untuk murid, bukannya dakyah politik.
“Situasi ini amat berbeza dengan pendekatan Parti Warisan ditunjukkan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan memperlekeh peranan serta sumbangan kepada rakyat dibuat oleh Adun tunggal PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.
“Pemuda PAS Sabah menyelar serta mengkritik sekeras-kerasnya tohmahan dibuat Mohd Shafie yang jelas menunjukkan ketidakmatangan dan kedangkalannya dalam berpolitik.
“Tidak hairanlah Sabah yang ditadbir kerajaan Warisan selama 33 bulan tempoh hari tidak berdaya saing kerana memiliki Ketua Menteri ketika itu yang rasis, tidak memiliki visi jauh dan berfikiran dangkal sehingga rakyat Sabah sendiri menghukum mereka dalam Pilihan Raya Negeri pada tahun 2020,” katanya menerusi kenyataan.
Hendri berkata, Pemuda PAS Sabah juga menasihatkan Mohd Shafie dan semua parti politik agar bersifat matang dalam berpolitik selain mengamalkan politik beradab, bukannya dendam membabi buta.
“Sekiranya Shafie Apdal atau mana-mana parti politik mempunyai agenda memajukan rakyat yang baik maka tonjolkan ia kepada rakyat. Tunjukkan apa kelebihan parti kalian berbanding parti lain. Bentangkan kerjabuat yang telah dijayakan oleh parti kalian yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Tindakan mempromosi politik adu domba dan menyerang karekter pimpinan politik lain jelas menunjukkan kelemahan idelogi politik didukung satu-satu pimpinan politik itu sehingga memungkinkan kemajuan sukar dicapai,” katanya.