‘Kalau BN tak berjaya, ahli Umno pun lompat”
DATUK Seri Hamzah Zainuddin menyifatkan dakwaan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil kononnya ramai ahli dan pimpinan Bersatu akan ‘melompat’ sertai Umno atau PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah ‘perkara biasa’.
“Dia ‘vice versa’, kalau BN (Barisan Nasional) tak berjaya (dalam PRU15), ramai ahli Umno akan ‘lompat’ masuk ke kita (Bersatu), sama saja,” kata Setiausaha Agung Bersatu itu.
Beliau ditemui media selepas menghadiri majlis pelancaran Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di Kuantan, hari ini.
Majlis dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
Isham pada 16 Oktober lalu dilaporkan berkata, kegagalan Bersatu untuk menang besar pada pilihan raya umum akan datang boleh menjadi pengakhiran kepada parti itu, dengan ahlinya kembali semula kepada Umno atau menyertai PAS.
Beliau berkata prestasi buruk Bersatu pada PRU15 juga bakal menyaksikan penyudahan kepada Perikatan Nasional (PN), kerjasama politik diterajui Bersatu dan PAS. – Malaysiapost