Kerajaan Pejuang bebas penyangak
ORANG Melayu mempunyai pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini dalam menentukan mereka ditadbir kerajaan yang ditunjang para pemimpin bebas jenayah atau sebaliknya.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata terdapat pilihan yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia untuk mengundi Umno atau Pejuang.
“Orang Melayu ingin diperintah oleh kerajaan didominasi Melayu. Dalam PRU-15, mereka boleh pilih antara Melayu penjenayah dalam Umno dan Melayu yang bebas dari kes-kes jenayah dari Pejuang serta rakan-rakan yang semuanya Melayu.
“Pejuang mewakili empat parti politik Melayu iaitu Pejuang, Putra, Iman dan Berjasa serta ramai orang Melayu yang tidak dibenar aktif dalam politik,” katanya di Facebook, hari ini.
Sementara itu bekas Perdana Menteri itu berkata, Pejuang memberi jaminan akan menumpukan usaha membasmi kemiskinan orang Melayu jika dipilih menjadi kerajaan.
“Masalah orang Melayu terutama kemiskinan dan kehilangan tanah menjadi tumpuan utama dalam agenda Pejuang.
“Keluhuran undang-undang akan dihormati. Kuasa tidak akan disalah guna. Rasuah akan diperangi, kos sara hidup akan diturun. Negara akan dipulihkan sehingga kembali menjadi Harimau Asia,” katanya. – Malaysiapost