Kerjasama BN-PKR hanya strategi dan propaganda Bersatu – Shamsul Anuar
BARISAN Nasional (BN) menafikan tiada rundingan antara gabungan itu dengan PKR seperti yang didakwa oleh Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi BN Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata dakwaan itu hanyalah propaganda, tidak bertanggungjawab yang hanya mahu memecahbelahkan Umno dan BN.
“Diharap semua jentera, ahli dan penyokong BN tidak terpengaruh. Kita mesti berwaspada disituasi begini.
“Perkara penting berkaitan parti hanya akan dikeluarkan oleh pimpinan parti melalui saluran rasmi BN sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Wan Saiful yang mendakwa ada rakan dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri menyebut kepadanya bahawa perbincangan teramat sulit antara kumpulan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan kumpulan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berjalan.
Ketua Penerangan Bersatu itu dalam hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat lalu, mendakwa agenda perbincangan sulit iatu adalah kerjasama antara Umno dan PKR untuk meminimakan pertembungan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, agenda seterusnya adalah mengusahakan pembentukan kerajaan bersama dan perbincangan itu dilakukan tanpa restu kepimpinan Umno atau kepimpinan PH, tetapi banyak sesi perbincangan telah berjalan. – Malaysiapost