Kit Siang tak mahu Malaysia jadi negara kleptokrasi global

Kit Siang tak mahu Malaysia jadi negara kleptokrasi global

MALAYSIA masih “boleh diselamatkan” dan perlu diselamatkan, dakwa Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berkata, Malaysia masih boleh mengelak daripada terus terjerumus dikenali sebagai negara kleptokrasi di peringkat global.

“Kita tidak mahu Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi global,” tulis penyandang Ahli Parlimen Gelang Patah itu di blog miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Kit Siang mendakwa, Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak telah mengubah Malaysia menjadi sebuah “kleptokrasi” global.

“Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mungkin memegang rekod dunia apabila dia menjadikan satu pilihan raya umum sebagai pertempuran untuk menyelamatkan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) dari didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah.

“Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah menyatakan yang dia patut memecat 12 menteri Kabinet yang menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membantah pembubaran Parlimen.

“Ia memberi bukti tambahan yang dia adalah Perdana Menteri paling lemah dalam kalangan sembilan Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Justeru, Kit Siang yang telah mengumumkan bersara sebagai wakil rakyat menegaskan, memenangi PRU15 tidak boleh digunakan untuk menyelamatkan pemimpin Umno yang terpalit dengan rasuah.

“Kita tidak mahu sebuah PRU menjadi medan pertempuran untuk menyelamatkan pemimpin Umno dan BN dari didakwa di mahkamah akibat rasuah.

“Kita tidak mahu seorang Perdana Menteri yang tidak berguna yang tidak tahu sama ada dia patut datang atau pergi.

“Malaysia adalah titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India dan Barat,” katanya. – Malaysiapost

Komen