KPM sentiasa cakna atasi setiap isu – Radzi Jidin
MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengakui terdapat kekangan maklumat Kementerian Pendidikan (KPM) tidak sampai ke bawah terutamanya kepada ibu bapa.
Bagaimanapun, Dr Radzi menegaskan, KPM sentiasa cakna menangani pelbagai isu yang dilaporkan kepada pihaknya.
“Maksudnya apabila ramai ibu bapa membangkitkan perkara sama, maknanya mesej yang kami (KPM) cuba disampaikan tak sampai.
“Kita dah lakukan banyak perkara, cumanya cabaran yang kami hadapi adalah apabila maklumat itu tidak sampai ke bawah, maklumlah dalam keadaan banyak maklumat ini.
“Apa yang paling penting, setiap isu kami di kementerian akan terima, siasat, analisis dan laksana, kalau perlu kami laksana,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
Mengulas isu beg sekolah berat, Dr Radzi berkata, isu itu bukan baharu, malah beliau telah mengambil inisiatif untuk menanganinya sejak dilantik menerajui KPM.
“Ini bukan isu baru, ini isu lama. Pada Mac lalu KPM telah melancar tujuh inisiatif mengatasi masalah beg sekolah berat ini. Cumanya perkara itu tidak sampai ke bawah.
“Hanya kemudahan lokar iaitu antara satu daripada tujuh inisiatif yang KPM sempat beritahu,” katanya. – Malaysiapost