Lebih 5,000 anggota ATM sedia diatur gerak ke lokasi ‘hotspot’ banjir

Lebih 5,000 anggota ATM sedia diatur gerak ke lokasi ‘hotspot’ banjir

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) bersedia mengatur gerak anggota dan aset pada bila-bila masa apabila diarahkan terutama ke 5,496 lokasi ‘hotspot’ banjir yang telah dikenalpasti di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bagi penugasan anggota, setakat ini akan melibatkan 782 pegawai dan 15,830 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) dari 30 Briged di seluruh negara.

“Daripada jumlah berkenaan, kira-kira 146 pegawai dan 4,155 anggota LLP akan bertindak sebagai pasukan responder pertama atau first responder team

“..bagi melaksanakan kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, bagi penugasan aset, setakat ini akan melibatkan atur gerak ribuan aset perairan dan darat.

Katanya, aset yang diatur gerak melibatkan 771 unit trak 3 tan; 304 unit trak 1 tan; 14 unit trak 5 tan; 13 unit trak 7 tan; 251 unit bot; 295 unit enjin bot; 5,573 jaket keselamatan.

Sementara itu, bagi OP MURNI di Pahang, Hishammuddin berkata seramai 86 pegawai dan 1,828 anggota LLP diatur gerak dalam usaha membantu rakyat negeri itu ketika musibah banjir berlaku.

“Saya turut telah mengarahkan kepimpinan ATM di Pahang untuk sentiasa berkomunikasi dengan pihak kerajaan negeri serta semua agensi bertanggungjawab seterusnya menghulurkan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan demi kepentingan rakyat Pahang sepanjang musim banjir.

“Secara keseluruhannya, ATM cukup bersedia dan berada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk mendepani bencana banjir termasuklah sekiranya ia berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya. – Malaysiapost

Komen