Lembaga tatatertib putuskan cikgu Fadli tak bersalah
LEMBAGA Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan membuat keputusan guru Matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh tidak bersalah susulan pendedahan mengenai silibus yang diguna pakai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Berdasarkan hantaran tular di media sosial, satu surat keputusan memaklumkan bahawa Mohd Fadli juga dibebaskan daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Berdasarkan surat berkenaan, guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh KPM.
Surat berkenaan ditanda tangan Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Sebelum ini, Mohd Fadli melalui laman media sosialnya mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.
Malah, isu ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Mohd Fadli turut menyuarakan pendapat jumlah murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang boleh memudaratkan kesihatan murid. – Malaysiapost