MUDA nafi kekecohan semasa ceramah di Muar adalah gimik
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Johor membuat laporan polis berhubung dakwaan gangguan sekumpulan ‘mat motor’ yang melakukan provokasi ketika ceramah mega Pakatan Harapan (PH) di Muar kelmarin, sebagai gimik politik parti itu.
Pengerusi MUDA Johor Mohd Azrol Ab Rahani, turut menafikan tuduhan berkenaan yang disifatkan sebagai tidak berasas dan berniat jahat.
Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan membuat kekecohan dan mengganggu keselesaan orang ramai yang menghadiri ceramah di pejabat MUDA Parlimen Muar itu.
“Tindakan mengintimidasi ini adalah untuk mewujudkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat supaya tidak hadir lagi dalam program yang akan diadakan pada masa hadapan. Ini secara langsung mengganggu proses demokrasi di Malaysia.
“Budaya ini adalah budaya yang rosak. Tetapi dengan iklim politik Malaysia, saya yakin pemuda bermotosikal yang membuat kekecohan itu dibayar dan dalam keadaan yang terdesak ramai yang sanggup melakukan apa sahaja untuk sedikit wang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, lebih teruk selepas kejadian itu ada pula pihak yang menuduh bahawa ia adalah gimik oleh MUDA.
“Ini adalah tuduhan tidak berasas dan berniat jahat. Kami ada segala rakaman dan gambar mereka yang melakukan kekecohan itu dan sudah diserahkan kepada polis.
“Supaya polis dapat mencari pihak tidak bertanggungjawab mengarah atau mengaji mereka yang terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Azrol berkata, insiden berkenaan tidak akan melemahkan semangat MUDA Johor untuk membudayakan politik baharu yang lebih sihat di negara ini.
“MUDA tidak akan berhenti bekerja, menyebar dan mempraktikkan budaya politik baharu yang lebih sihat, supaya ekspresi politik dalam masyarakat tidak akan dapat dipadam.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjaga dan mengawal keadaan dengan baik dalam ceramah mega kelmarin,” katanya. – Malaysiapost