Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi masih berfungsi – Annuar Musa

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi masih berfungsi – Annuar Musa

PASUKAN Khas Jihad Tangani Inflasi masih berfungsi walaupun Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata pasukan itu bagaimanapun tidak bermesyuarat sejak Parlimen dibubarkan kerana ahlinya yang terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen semuanya memberi tumpuan kepada kawasan masing-masing.

Menurutnya, pasukan berkenaan masih berhubung dan jika ada keperluan akan mengadakan mesyuarat pada minggu depan.

“Pasukan ini tidak dibubarkan sebab inflasi dan masalah sentiasa ada. Jadi ia terus menjadi tanggungjawab kepada kerajaan untuk memantau walaupun kini hanya sebagai ‘caretaker’ (sementara).

“Kalau ada sesuatu yang perlu maka jawatankuasa ini perlu bersidang. Sebagai contoh, pada setiap awal bulan kita kena menentukan berapa harga minyak masak di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di Putrajaya hari ini.

Annuar berkata, sepatutnya jawatankuasa berkenaan bersidang dua kali seminggu, namun disebabkan pembubaran Parlimen maka tidak sempat mengadakan mesyuarat.

“Cuma kita bersidang sepatutnya dua kali seminggu tapi kita beri peluang kepada wakil rakyat yang terkejut dengan pembubaran untuk cepat-cepat balik bagi melihat persiapan di kawasan masing-masing.

“Jadi kita belum adakan mesyuarat untuk minggu ini tapi mungkin kita perlu adakan mesyuarat pada minggu hadapan,” katanya.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi diwujudkan kerajaan pada 29 Jun lalu bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran ekoran peningkatan kos sara hidup.

Jawatankuasa itu dianggotai Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee; dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi;

Turut menganggotainya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. – Malaysiapost

Komen